Sunday, May 23, 2004

Semasa aku membelek suratkhabar Mingguan Malaysia Ahad 23 Mei 2004 aku telah tertarik dengan satu rencana CATATAN SEORANG ISTERI KULIT PUTIH, dimana diantara isi kandungannya adalah mengenai Queen Noor, isteri kepada Al Marhum Raja Hussien Jordan. Aku dan penulis Mazlan Nordin telah membaca buku yang sama berjudul QUEEN NOOR – LEAP OF FAITH – MEMOIRS OF AN EXPECTED LIFE.

Raja Hussein telah berkahwin dengan Permaisuri Noor dari Amerika pada tahun 1978. Noor memeluk agama Islam pada pagi perkahwinan di Istana Zahran manakala Al-Malik Hussein membawanya ke bilik istirehat dan Noor pun mengucap dua kalimah syahadat. (ikut serta dalam majlis perkahwinan itu ialah dua orang adiknya, Christian & Alexa).Lantas dengan perkahwinan itu Noor menjadi ibu tiri kepada lapan orang anak. Mereka memanggilnya “mama” dan “mummy”.

Setelah mendirikan rumah tangga selama lebih 20 tahun, Al-Malik Hussein gering akibat sakit barah dan mangkat pada bulan Februari 1999. Noor menunaikan umrah tidak lama selepas kemangkatan Al-Malik Hussein yang selama perkahwinan mereka kerap menunaikan haji. Noor membuat catatan mengenainya dalam memoirnya Leap Of Faith. Antara lain ditulis: “ Saya sembahyang bersama ahli keluarga dan sahabat sebelum menuju ke Masjidil Haram…kami menyertai lautan manusia dari segala pelosok dunia – lelaki dan perempuan – yang berseorangan atau dalam kumpulan keluarga serta jiran tetangga, semasa melakukan tawaf dan sai”.

“Pada beberapa bulan terakhir, suami telah mengingatkan saya supaya menerima suratan takdir dan bahawasanya juga jalan kearah kemenangan kadangkala memerlukan kita menerima yang telah ditulis. Saya juga menyedari betapa iman memperteguh diri saya pada hari-hari dan bulan-bulan berikutnya dan bahawa saya mahu kembali ke Mekah, Insyaallah”. Pada akhir memoirnya ditulis: Noor Al-Hussein, Amman, Jordan, November 2002, Ramadan 1423.

Antara lain disebut juga betapa Putera Mahkota Abdullah dari Arab Saudi datang membawa air zamzam untuk Al-Malik Hussein yang sedang dirawat di Mayo Clinic, Amerika. Satu catatan mengejutkan ialah kisah ejen-ejen perisikan Israel, Mossad masuk ke Israel pada bulan September 1997 dengan menggunakan pasport palsu negara Kanada. Mereka kemudian cuba membunuh ketua biro politik Hamas. Mereka menyuntik Khalid Mashal dengan racun kimia dengan satu serangan racun kimia dengan satu serangan waktu siang hari di jalan raya kota Amman.

Mashal dibawa ke hospital dalam keadaan tenat. Al-Malik Hussein dan pihak berkuasa Jordan segera mendesak Perdana Menteri Israel, Bibi Netanyahu supaya memberi maklumat mengenai racun kimia yang disuntik itu. Pihak Israel enggan memberitahu. Hanya dengan campur tangan Presiden Amerika, Bill Clinton barulah Israel memberi maklumat. Mashal akhirnya sempat dirawat dan pulih. Netanyahu kemudian mahu mengadakan pertemuan khas dengan Hussein, tetapi Hussein enggan melayaninya. Noor dalam memoirnya berceloteh mengenai suaminya yang mungkin dijangkiti “kuman bibi”, iaitu lanjutan gerakan keganasan perang kimia.

Turut dicatat ialah nasib rakyat Palestin yang dihalau setelah lahir negara Israel pada tahun 1948 dan mereka terpaksa lari ke Jordan, Syria dan Lebanon. Kira-kira 1.5 juta penghuni Palestin di Jordan diterima menjadi warganegara Jordan dan akhirnya, Al-Malik Hussein disebut sebagai satu-satunya kepala negara Arab yang berbuat demikian. Kira-kira 80,000 lagi pelarian Palestin tinggal di khemah-khemah yang penuh sesak. Generasi kedua dan ketiga orang Palestin di Jordan dilahirkan di situ. “sesetengahnya menyimpan dokumen-dokumen sejak melarikan diri lebih 30 tahun lalu, sebagai bukti milik tanah dan rumah yang terpaksa mereka tinggalkan. Ramai yang menyimpan kunci rumah yang diikat pada tali leher masing-masing”.

Memoir Noor berakhir dengan catatan yang ditujukan kepada suami yang dikasihinya: “Aku tidak akan mensia-siakan kau kekasihku. Aku akan meneruskan perjalanan kita kerana aku tahu kau akan menolong diriku, seperti di masa lampau, dan manakala kita bertemu lagi kelak di akhir perjalanan dan kita bersama-sama ketawa sekali lagi, maka ribuan cerita akan disampaikan kepada kau”.

No comments: